fb fb fb fb fb

Bintang bola sepak Perancis, Kante sertai Al Ittihad

(FOTO FB Ittihad Club)

RIYADH, 21 Jun- Pemenang Piala Dunia bersama Perancis, N'Golo Kante berpindah ke kelab juara Arab Saudi, Al-Ittihad, umum kelab itu dalam satu kenyataan semalam, menyertai warga senegaranya Karim Benzema.

"Kante kini pemain Ittihad!" umum kelab itu di Twitter, manakala pengerusi Anmar al-Hailee menciap: "Selamat datang kepada pemain baharu Tigers Kante," merujuk kepada nama julukan pasukan itu.

Pemain tengah berbakat itu, yang menjuarai Piala Dunia bersama Perancis pada 2018, muncul antara beberapa bintang Eropah terbaharu memilih untuk memperagakan aksi mereka di Arab Saudi.

Kariernya di kelab turut gemilang. Dia memenangi Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab bersama Chelsea, selain kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut bersama Leicester City dan Chelsea.


(Kante ketika beraksi dengan Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris, April lalu/  AFP)

"Kante mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab," menurut kelab berpangkalan di Jeddah itu namun tidak mendedahkan sebarang angka bayaran perpindahan.

"Kehadiran Kante di Al-Ittihad dianggap satu daripada pembelian berprofil tinggi dalam sejarah kelab. Ia sebahagian daripada usaha kelab untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pilihan utama pemain bertaraf dunia dalam Liga Profesional Saudi."

Ketibaan pemain berusia 32 tahun itu menyusuli bekas bintang Real Madrid, Benzema, yang menyertai Al-Ittihad awal bulan ini.

Dalam satu video hantaran kelab itu, Benzema memberi mesej kepada rakan senegaranya dari Perancis: "Satu ketika dulu saya beritahu anda, anda pemain tengah terbaik di dunia. Kini saya gembira untuk beraksi dengan anda sekali lagi dan sudah tentu bersama pasukan terbaik di Arab Saudi."

Kante berkata dia "amat teruja untuk bermain buat Tigers."

Liga negara beraja itu sudah mengikat Cristiano Ronaldo, yang menyertai Al-Nassr pada Januari lalu.

Rakan senegaranya dari Portugal, Ruben Neves, yang beraksi dengan Wolves, dilaporkan sedia untuk menyertai Al-Hilal. – AFP

Media Baharu