fb fb fb fb fb

Pan Gon puji pemain Harimau Malaya, benam Papua New Guinea 10-0

(Pan Gon  semasa sidang media selepas perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1
antara Malaysia lawan Papua New Guinea malam tadi/ BERNAMA)

KUALA NERUS, 21 Jun- Jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon memuji anak buahnya selepas Malaysia membenam Papua New Guinea 10-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Pan Gon mengakui sangat gembira dengan komitmen ditunjukkan pemain setelah skuad Harimau Malaya mempamerkan persembahan berkualiti tinggi dan menarik di hadapan hampir 10,000 penonton di stadium.

Beliau berkata apa yang ditunjukkan pemainnya malam tadi memerlukan usaha dan kerja keras demi memenuhi permintaan barisan kejurulatihan, selain perlu berdepan tekanan hebat untuk melaksanakan taktikal pasukan pada setiap perlawanan.

“Mereka sentiasa mencuba meningkatkan kualiti permainan dan sangat penting untuk melihat mereka berada dalam tekanan kerana kami (barisan kejurulatihan) datang ke sini untuk mengubah bola sepak Malaysia menjadi positif, dominan dan proaktif.

“Jadi, bagi saya, saya gembira malam ini (tadi) tetapi ini bukanlah penamat kempen, hanya satu perlawanan … namun bola sepak seperti ini yang kami mahu bermain menentang pasukan kuat dan itulah sasaran kami,” kata Pan Gon pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Mengulas mengenai kemajuan yang dapat dilihat sejak mengambil alih pasukan pada Januari tahun lepas, Pan Gon berkata tahap keyakinan pemain semakin meningkat dalam setiap perlawanan walaupun adakalanya mereka bergelut, namun apa yang penting ialah mereka tidak gentar.

Beliau berkata ketakutan boleh menjejaskan tumpuan, sekali gus menyukarkan pasukan untuk beraksi dengan baik.

“Seperti pada separuh masa kedua (malam tadi), ia bukan sesuatu yang boleh saya ajar. Ia hadir secara semula jadi daripada pemain, ia datang dari lubuk hati mereka … saya rasa tahap keyakinan mereka sudah bertambah baik.

“Dan juga pada satu setengah tahun yang lepas, mereka cuba untuk memahami model permainan dan pendekatan taktikal kami. Kami berikan banyak maklumat kepada pemain, saya dapat lihat mereka sangat bijak dan saya bangga dengan mereka,” katanya.

Pada pertembungan malam tadi, persembahan cemerlang pada babak kedua menyaksikan skuad bimbingan jurulatih dari Korea Selatan itu menjaringkan sembilan gol selepas mendahului pada penghujung babak pertama menerusi penalti Muhammad Safawi Rasid.

Pemain sayap muda sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dan pemain naturalisasi Paulo Josue mencuri tumpuan selepas masing-masing meledak empat dan tiga gol manakala pemain gantian lain Mohamad Faisal Abdul Halim dan Daniel Ting masing-masing menjaringkan satu gol.

Kejayaan itu menyaksikan Harimau Malaya merakam kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi persahabatan sejak Mac lepas dan mencatat kemenangan terbesar sejak menewaskan Bhutan 7-0 semasa saingan persahabatan pada April 2018.

Sementara itu, ketua jurulatih Papua New Guinea Harrison Kamake yang terkejut dengan kekalahan besar itu berkata kegagalan pasukannya untuk mematuhi arahan menjadi punca mereka dibolosi sembilan gol pada babak kedua.

“(Perlawanan) ini sukar buat pemain saya, ternyata Malaysia pasukan yang lebih baik, kredit penuh diberikan kepada mereka,” katanya.- BERNAMA


(FOTO FB Football Association of Malaysia)

P

Media Baharu