PARIS, 31 Julai- Pemain profesional badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia seperti diramalkan, dengan mudah melepasi peringkat kumpulan Olimpik Paris 2024 untuk layak ke pusingan kalah mati, di Porte de La Chapelle Arena, hari ini.
Juara All England 2021 itu menewaskan pemain ke-62 dunia dari Sepanyol Pablo Abian, 21-10, 21-13 dalam masa 34-minit, dalam perlawanan Kumpulan G untuk layak ke pusingan 16 terakhir.
Sepanjang permainan Zii Jia tidak berhadapan banyak masalah daripada pemain berusia 39 tahun dari Sepanyol itu, yang menyertai Sukan Olimpik buat kali kelima sejak edisi Beijing 2008.
Zii Jia pemain berkedudukan ketujuh dunia, memulakan kempen Olimpiknya dengan kemenangan ke atas pemain ke-70 dunia Viren Nettasinghe dari Sri Lanka pada Ahad.
Bagaimanapun cabaran Zii Jia bermula pada pusingan 16, apabila dijangka akan berhadapan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia, jika tidak berlaku kejutan pada perlawanan Kumpulan H, selepas ini.
Pada penampilan pertama Zii Jia di Olimpik Tokyo 2020, beliau tewas kepada pemain China Chen Long pada pusingan 16.
Zii Jia kini berharap untuk memperbaiki keputusannya di Olimpik Tokyo, apabila beliau berhadapan dengan juara Kumpulan H, yang akan ditentukan selepas perlawanan antara Ginting dan pemain tuan rumah Tomo Junior Popov.
“Dia (Abian) berikan saya tekanan pada awalnya, namun saya dapat menguruskannya dengan baik. Kini saya telah layak ke pusingan 16 terakhir Olimpik lagi, dan diharapkan keputusan yang lebih baik untuk saya kali ini.
Perlawanan esok tentunya akan lebih sukar, seperti yang anda tahu pertemuan saya dengan Ginting tidak baik untuk saya (sekali menang, lima kali kalah), jadi ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar.
Mengenai peluang Junior Popov membuat kejutan dan layak, Zii Jia berkata apa-apa sahaja boleh berlaku pada perlawanan di Olimpik.
“Saya rasa sesiapa sahaja yang akan saya jumpa akan sukar. Popov akan bermain di hadapan penyokongnya sendiri, jadi tentunya dia lebih bersemangat dan yakin, berbanding biasa,” katanya.- BERNAMA