fb fb fb fb fb

KDN FC tamatkan kontrak penyerang import Muzungu

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad (kanan) bersama penyerang import, Chadrack Lukombe Muzungu/ FB Kelantan Darul Naim FC

KOTA BHARU, 31 Julai- Penyerang import, Chadrack Lukombe Muzungu ditamatkan kontrak oleh skuad Liga Super, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), berkuat kuasa hari ini.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata penamatan kontrak bekas pemain antarabangsa Congo berusia 27 tahun itu dicapai hasil persetujuan bersama kedua-dua pihak selepas tiga bulan beraksi bersama pasukan itu.

"Dia (Muzungu) menyertai KDN FC dengan kontrak semusim pada April selepas dibebaskan kelab Liga Maghribi, RS Berkane.

"Perpindahan Muzungu tidak berjalan seperti dirancangkan selepas diketepikan beberapa minggu kerana cedera. Sebaik kembali, dia gagal menembusi skuad utama termasuklah disisihkan pada tiga perlawanan terakhir Liga Super bulan Julai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rozi turut mengucapkan terima kasih kepada Muzungu atas usaha dan khidmatnya kepada pasukan serta kelab.

“ Selamat maju jaya dalam karier bola sepak bersama kelab lain pada masa hadapan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya kini akan melakukan beberapa perubahan drastik termasuk membawa masuk beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka September ini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI