fb fb fb fb fb

Olimpik: Tang Jie-Ee Wei kandas di suku akhir, kecederaan ganggu fokus

Foto BAM

PARIS, 1 Ogos- Hasrat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mara lebih jauh dalam penampilan pertama mereka di pentas Olimpik tidak kesampaian.

Mereka tumpas straight sets kepada gandingan Korea Selatan, 19-21 dan 14-21.

Turun dengan semangat yang tinggi, Tang Jie-Ee Wei tidak memberikan laluan mudah buat Won Ho dan Na Eun.

Namun, Ee Wei mengalami sedikit kecederaan di tengah-tengah permainan yang dilihat mengganggu pergerakannya sekali gus tumpas 19-21.

Di set kedua, Won Ho-Na Eun terus memanfaatkan situasi itu dan mendahului 16-9 pada satu ketika.

Mereka kemudian terus menjarakkan diri untuk membenam Tang Jie-Ee Wei, 21-14 untuk layak ke separuh akhir.

Sementara itu, Tang Jie yang ditemui selepas perlawanan dengan nada sebak mengakui amat sedih selepas tersingkir di suku akhir.

"Untuk perlawanan ini, saya rasa kita sudah bagi yang terbaik. Perjalanan ini, kita sendiri yang lawan semula. Memang sedih, sudah kalah," kata Tang Jie kepada pemberita di Paris.

Bagi Ee Wei pula, kekalahan itu tidak melunturkan semangatnya untuk cuba melayakkan diri ke Olimpik 2028 di Los Angeles.

"Ini pun adalah Olimpik pertama kita. Peluang memang ada cuma kita tidak manfaatkan sebaik mungkin. Kita akur dengan kekalahan, mungkin jumpa lagi empat tahun," kata Ee Wei.

Mereka sebelum itu mempamerkan prestasi meyakinkan apabila menjuarai kumpulan D yang turut dihuni beregu nombor tiga dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM