KUALA LUMPUR, 19 Jun- Atlet pelari pecut 400 meter kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy bersedia membawa cabaran acara 100 meter bagi mendapatkan 'wild card' ke sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut garis panduan baharu daripada Olahraga Dunia, slot universal yang sebelum ini dikenali sebagai 'wild card', dikhaskan untuk atlet yang bertanding dalam acara 100m, 800m dan maraton.
Bagaimanapun, Shereen, yang memegang rekod kebangsaan dalam acara 400m wanita, percaya dia juga perlu dipertimbangkan kerana kemampuannya dalam acara 100m pecut.
“Sekiranya saya tidak layak (secara merit) bagi acara 400m berdasarkan ranking ia semestinya antara 100m atau 800m tetapi saya rasa ia lebih ke arah 100m.
“Saya mempunyai kelajuan yang agak baik dan pernah berlari bagi acara itu (100m) serta menyerlah bagi acara 200m. Jadi saya nampak ada kemungkinan untuk melakukannya,” katanya.
Beliau menyatakan perkara berkenaan ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN).
Pemegang rekod kebangsaan 400m wanita dengan catatan 51.79 saat itu akan ke Kejohanan Olahraga Terbuka Kazakhstan berlangsung pada 23 hingga 24 Jun ini yang juga kejohanan terakhir bagi melayakkan diri ke Paris 2024.
Atlet berusia 26 tahun berasal dari Perak itu dalam masa sama berazam untuk terus bangkit memburu kelayakan ke Olimpik secara merit bagi acara 400m seperti yang disasarkan sebelum ini.