fb fb fb fb fb

Paris 2024: Pakaian diperkenalkan MOM tidak digunakan untuk perbarisan kontinjen

Hannah Yeoh pada sidang media selepas majlis pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) Musim 2024

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Pakaian kontinjen Malaysia yang diperkenalkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (OCM) baru-baru ini tidak akan digunakan dalam perbarisan majlis perasmian Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan kontijen negara mempunyai set pakaian yang lain bagi majlis perasmian berkenaan.

"Ini bukan baju untuk perbarisan, saya baca komen ramai yang ingatkan ia adalah baju perbarisan, baju perbarisan sudah ada untuk atlet-atlet kita.

"Kita perlu hormati OCM dan kontrak penajaan mereka dengan Yonex dan saya serahkan ini kepada Mohamad Norza dan percaya beliau mampu untuk selesaikan bila ke Paris kita berjalan sebagai satu pasukan... orang tak nampak ini MOM, ini KBS kita semua bawa nama Malaysia," katanya.

Selain itu Hannah turut menegaskan supaya tiada perbandingan dibuat berhubung pendekatan kepimpinannya di KBS dengan bekas menteri, Khairy Jamaluddin, memandangkan semua menteri mempunyai cara tersendiri untuk mengemudi kementerian.

"Masa zaman beliau, itu cara beliau setiap pemimpin mempunyai cara kepimpinan yang berlainan untuk saya, saya hormati pemegang taruh kita dan OCM merupakan pemegang taruh utama bagi Kementerian Belia dan Sukan,"jelas Hannah

Beliau memaklumkan selepas majlis pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2024 hari ini.

Sebelum ini Khairy yang memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018, berkongsi menerusi audio siar (podcast) bersama Shahril Hamdan mengenai peranannya dalam penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE