SURABAYA, 27 Jun-Skuad Judo negara meneruskan kecemerlangan dengan menambah satu lagi kilauan emas di ukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 pada hari kedua temasya dwitahunan tersebut.
Atlet Judo lelaki negara, Afiq Danish Zapri yang baru sahaja meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-21 semalam berjaya memungut emas menerusi acara kategori bawah 90 kilogram, sebentar tadi.
Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Airlangga,di sini, Afiq Danish Zapri mengharungi aksi yang cukup mendebarkan ketika menentang wakil tuan rumah, Mayza Tyas Nugraha.
Afiq berjaya memenangi perlawanan 1-0.
Sebelum itu, pada pusingan awal, atlet berusia 21 tahun itu menundukkan seorang lagi wakil tuan rumah, Muh Altila Alfaridzi dengan satu 'Ippon' ketika lawannya sedang mendahului perlawanan dengan mata 1-0, untuk mara ke saingan akhir.
Afiq yang juga penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menyifatkan kemenangan di penampilan sulungnya di temasya berkenaan sebagai cukup bermakna buat dirinya.
"Saya rasa sangat teruja kerana tidak sangka dapat memenangi pingat emas tetapi Alhamdulillah berjaya melakukannya. Ketika melangkah masuk ke gelanggang, agak gementar tetapi dapat kawal dan menang.
“Semalam adalah hari lahir saya, jadi ini (emas) adalah hadiah yang sangat bermakna dalam hidup saya kerana dapat memenangi pingat emas di pentas AUG,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
Sementara itu, Malaysia turut meraih gangsa menerusi Tan Yi Ting dalam kategori bawah 73 kilogram lelaki selepas kecundang di tangan wakil Singapura, Melvin Loo pada aksi separuh akhir.