KUALA LUMPUR, 27 Jun- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah memohon perkenan untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ia susulan baginda menzahirkan rasa kecewa dan murka susulan hukuman dikenakan ke atas Selangor FC (SFC).
Beliau memaklumkan telah menghubungi pihak Istana Selangor mengenai pertemuan untuk menghadap Sultan Sharafuddin dan akan menjelaskan mengenai perkara terbabit di hadapan baginda.
"Saya telah menghubungi pihak Istana Selangor semalam untuk membuat pertemuan menghadap Tuanku Sultan Selangor dan saya telah susuli dengan warkah untuk menghadap baginda. Insya-Allah saya cuba dapat selesaikan perkara ini dan memberikan penjelasan,"katanya ketika ditemui wartawan, hari ini.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan Malaysian Football League MFL serta ahli-ahli FAM khususnya Hamidin berhubung kes ketidakhadiran SFC ke perlawanan Sumbangsih, 10 Mei lalu.