fb fb fb fb fb

Deaflympics Tokyo: CDM akui kekurangan, fokus penambahbaikan jangka panjang

Ketua Kontinjen (CDM) ke Deaflympics Tokyo 2025, Mohd Yusri Abdul Ghani memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas kontinjen negara gagal mencapai sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan/RTM

TOKYO, 26 November – Ketua Kontinjen (CDM) ke Deaflympics Tokyo 2025, Mohd Yusri Abdul Ghani memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas kontinjen negara gagal mencapai sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.

Menurut Yusri, meskipun Malaysia berjaya membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa, pencapaian tersebut masih belum menepati harapan awal kontinjen.

2611 SKN CDM DEAF MOHON MAAF 2Mohd Yusri Abdul Ghani/RTM

“Saya sebagai CDM ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak dapat menunaikan janji tiga pingat emas. Kami menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan ia menjadi pengajaran besar buat semua,” katanya.

Namun begitu, beliau tetap memuji komitmen dan semangat atlet muda negara yang menunjukkan peningkatan ketara, dengan beberapa rekod peribadi berjaya dipecahkan serta beberapa acara menyaksikan penyertaan Malaysia mara ke pusingan akhir.

“Walaupun tidak mencapai sasaran, atlet kita menunjukkan perkembangan positif dan memberi gambaran jelas bahawa kita sudah mempunyai pelapis untuk edisi akan datang,” katanya lagi.

Yusri turut memaklumkan, kontinjen memberi tumpuan kepada penambahbaikan jangka panjang, termasuk memperluaskan penyertaan di kejohanan antarabangsa serta melakukan adaptasi awal terhadap cuaca tuan rumah sebelum temasya bermula.

“Kami sudah mengenal pasti kelemahan dan akan melakukan pembaikan segera. Insya-Allah, kita akan kembali lebih kuat empat tahun akan datang,” tambahnya.

Pada Selasa, cabaran kontinjen negara berakhir tanpa tambahan pingat apabila beregu campuran boling pekak negara tersingkir pada pusingan pertama acara yang berlangsung di Higashiyamato Grandbowl.

Dengan penamatan acara tersebut, Malaysia secara rasmi menutup cabaran di Deaflympics Tokyo 2025 dengan pencapaian satu emas, dua perak dan satu gangsa, meskipun hasrat untuk menambah koleksi pingat tidak kesampaian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN