RIYADH, 25 November – Kelab Liga Pro Saudi, Al Hilal melakar kemenangan 4-0 ke atas kelab Iraq, Al Shorta dalam aksi Liga Juara Asia Elite sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati dengan rekod lima kemenangan berturut-turut.
Marcos Leonardo menjadi watak utama kejayaan itu apabila meledak dua gol untuk membantu skuad kendalian Simone Inzaghi mengutip 15 mata maksimum daripada lima perlawanan fasa liga zon barat yang membariskan 12 pasukan.
Penyerang Brazil itu membuka jaringan pada masa kecederaan babak pertama menerusi tandukan kencang yang menewaskan Hasan Ahmed.
Situasi bertambah sukar buat Al Shorta selepas pemainnya, Ahmed Yahia, dilayangkan kad merah pada minit ke-61 akibat kesalahan kedua.
Kesilapan penjaga gol Ahmed yang gagal menangkap tandukan Sergej Milinkovic-Savic membolehkan Al Hilal menambah jaringan dua minit selepas itu, sebelum Leonardo menambah gol ketiga melalui satu lagi tandukan dengan baki 18 minit permainan.
Joao Cancelo menutup malam gemilang Al Hilal dengan gol keempat pada masa kecederaan.
Lapan pasukan terbaik daripada liga zon barat dan lapan lagi dari liga zon timur akan mara ke Pusingan 16 yang dijadual berlangsung pada Mac depan, manakala saingan suku akhir, separuh akhir dan akhir akan diadakan secara berpusat di Arab Saudi pada April. -REUTERS