MANCHESTER, 26 November – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui kesilapannya melakukan rombakan besar-besaran dalam kesebelasan utama selepas skuadnya tewas 0-2 kepada Bayer Leverkusen dalam saingan Liga Juara, awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, Guardiola membuat 10 pertukaran termasuk merehatkan penyerang utama, Erling Haaland, yang ketika ini sudah mengumpul 14 gol dalam liga Perdana Inggeris.
“Pertukaran yang dibuat terlalu banyak,” kata Guardiola sebaik memulakan sidang media selepas perlawanan.
Pengurus Sepanyol itu menjelaskan jadual perlawanan yang padat memerlukan penyertaan semua pemain. Namun percaturan pada perlawanan menentang Bayer Laverkusen ternyata tidak menjadi.
“Saya percaya dalam musim yang panjang, semua pemain perlu diturunkan. Tetapi melihat keputusan ini, mungkin saya telah melakukan terlalu banyak pertukaran. Ini kali pertama saya membuat perubahan sebegitu besar, dan ia jelas berlebihan,” katanya.
Guardiola turut mempertahankan keputusannya merehatkan Haaland dengan mengambil kira beban tugasan domestik dan antarabangsa yang dipikul pemain Norway itu.
“Saya ikut naluri saya. Pasukan berlatih dengan baik, suasananya positif. Kami bermain di tempat sendiri dan berada dalam kedudukan yang baik. Tetapi mustahil untuk Erling beraksi 95 minit setiap perlawanan,” katanya.
Beliau turut mengakui beberapa pemain yang diturunkan bermain di bawah tekanan sehingga menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan.
“Mereka bermain untuk tidak melakukan kesilapan, dan apabila itu berlaku, anda tidak bebas dan tidak tenang,” ujarnya.
Kekalahan itu menamatkan rekod 23 perlawanan tanpa kalah City di laman sendiri dalam saingan kumpulan atau liga Liga Juara Eropah.
City kini berada di tangga keenam dengan 10 mata selepas lima perlawanan, dengan hanya lapan pasukan teratas akan mara ke pusingan 16 terbaik.
City seterusnya akan berdepan tugas berat menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu pada 10 Disember depan. Namun Guardiola optimis pasukannya mampu mengharungi cabaran tersebut.
“Kita ada masa untuk bersedia menghadapi Madrid,” katanya. -REUTERS