MANCHESTER, 26 November – Manchester City dikejutkan oleh Bayer Leverkusen apabila tewas 0-2 di Stadium Etihad pada aksi Liga Juara awal pagi tadi, sekali gus menamatkan rekod 23 perlawanan tanpa kalah City di laman sendiri dalam saingan peringkat kumpulan atau liga.
Kekalahan itu turut menjejaskan penampilan ke-100 Pep Guardiola sebagai pengurus City di pentas berprestij itu yang berakhir dengan kekecewaan, menyaksikan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu turun ke tangga keenam dengan 10 mata selepas mengharungi lima perlawanan.
Leverkusen pula melonjak ke tangga ke-13 hasil jaringan Alejandro Grimaldo dan Patrik Schick.
Sebelum itu, tindakan Guardiola yang merehatkan hampir semua pemain utama pada babak pertama mengejutkan ramai pihak, termasuk membuat 10 pertukaran dan keputusan berisiko itu akhirnya memberi bebanan buat City.
Leverkusen terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-23 melalui serangan balas pantas, apabila Malik Tillman melakukan hantaran silang yang dikawal Christian Kofane sebelum Grimaldo merembat masuk gol ke gawang pasukan tuan rumah.
Guardiola kemudiannya memasukkan Phil Foden, Jeremy Doku dan Nico O'Reilly sebaik babak kedua bermula, namun usaha itu tidak menghalang pasukan pelawat menambah jaringan pada minit ke-54 apabila Schick menanduk masuk bola melepasi pertahanan dan penjaga gol City, James Trafford.
Erling Haaland pula dimasukkan pada minit ke-65 tetapi percubaannya turut digagalkan penjaga gol Leverkusen, Mark Flekken, yang juga berjaya menafikan percubaan Nathan Ake dan Tijjani Reijnders.
“Saya ambil sepenuhnya tanggungjawab atas keputusan ini. Pemain yang bermula memang bertaraf dunia, tetapi kami masih kekurangan sesuatu pada tahap tertinggi,” ujar Guardiola.- REUTERS