PARIS, 27 Ogos- Lebih dua juta tiket telah terjual menjelang pembukaan Paralimpik Paris 2024 esok, manakala 500,000 tiket lagi masih tersedia untuk pembelian.
"Kami telah menjual sekitar dua juta tiket... jadi itu bagus. Akan ada stadium yang penuh," kata Presiden Paris 2024, Tony Estanguet, dalam satu sidang media bersama Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Andrew Parsons hari ini.
Acara paling laris termasuk bola sepak buta, taekwondo, berbasikal trek, menembak, triatlon dan berkuda.
Katanya tiket tambahan telah dijual untuk acara yang paling diminati di lokasi seperti Grand Palais dan Istana Versailles.
Penganjur juga yakin lebih banyak tiket akan dijual sehingga akhir acara.
"Saya tahu bahawa kami akan terus menjual tiket, malah semasa acara dan sehingga akhir, sama seperti ketika Olimpik," kata Estanguet.
Paralimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September 2024. -AFP