fb fb fb fb fb

Liverpool 'ikat' penjaga gol Georgia, Giorgi Mamardashvili

Foto AFP

LIVERPOOL, 28 Ogos- Liverpool mengumumkan telah menandatangani penjaga gol, Giorgi Mamardashvili dari Valencia pada Selasa.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Georgia itu tidak akan tiba di Anfield sehingga musim depan.

Mamardashvili menyinar semasa kejohanan besar pertama negaranya di Euro 2024 ketika Georgia mara ke peringkat 16 terakhir, sebelum tunduk kepada juara iaitu Sepanyol.

"Liverpool telah mencapai persetujuan untuk perpindahan Giorgi Mamardashvili, tertakluk kepada permit kerja dan pelepasan antarabangsa."

"Penjaga gol Valencia itu akan berpindah ke Anfield menjelang musim 2025-26," kata Liverpool dalam satu kenyataan.

"The Reds telah mendapatkan perjanjian untuk pemain berusia 23 tahun itu yang akan menyaksikan dia kekal di Sepanyol untuk baki kempen semasa bersama Los Che sebelum beralih ke Merseyside pada musim panas depan," tambah kenyataan itu.

Liverpool dilapor akan membayar 30 juta euro (£25 juta, $34 juta) ditambah lima juta euro sebagai tambahan untuk pembelian pertama mereka pada jendela perpindahan.

Pemain nombor satu kelab semasa, Alisson Becker mendedahkan minggu ini bahawa dia telah menolak tawaran lumayan dari Arab Saudi.

Alisson masih mempunyai baki dua tahun dalam kontraknya di Anfield tetapi menyokong perpindahan untuk Mamardashvili.

"Saya rasa kelab perlu bersedia untuk masa depan. Kami tidak akan kekal selama-lamanya di sini."

"Saya fikir ia adalah idea yang baik, saya tahu tentang itu (Mamardashvili) sebelum ia keluar di media sosial dan itu adalah mesej yang baik untuk saya kerana kelab mengambil berat tentang apa yang saya fikirkan," kata pemain Brazil itu kepada Liverpool Echo.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM