KUALA TERENGGANU, 27 Ogos- Pemberian insentif kemenangan pingat kepada atlet Terengganu pada temasya Sukan Malaysia, (SUKMA 2024) di Sarawak belum diputuskan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan menunggu laporan penuh sebelum membuat keputusan mengenai jumlah insentif yang bakal diberikan kepada kesemua pemenang berkenaan.
"Inisiatif ini tetap ada. Insya-Allah tetapi saya akan tunggu laporan penuh sebelum buat keputusan.
"Ini juga termasuk apa yang diperoleh oleh pihak yang menghantar tanpa melalui kerajaan negeri (atlet terjun wanita) dan kita akan buat keputusan kemudian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembersihan Pantai Batu Buruk di Dataran Batu Buruk di sini, hari ini yang dirasmikan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Tambah Ahmad Samsuri, perkara penting adalah melaksanakan pelan strategi lebih baik untuk memperbaiki kedudukan Terengganu dari segi pencapaian pingat pada SUKMA akan datang.
"Sebab paling penting adalah bagaimana kita ingin laksanakan pelan strategi lebih kemas supaya dalam tempoh dua tahun lagi kita akan perbaiki keadaan dan tambah baik kedudukan kita. Jadi sudah tentulah sasaran kita pada masa hadapan untuk menjadi juara. Kita akan fokus ke arah itu," ujarnya.
Pada SUKMA 2024, Terengganu berada pada kedudukan lima teratas dengan meraih 41 emas, 36 perak dan 47 gangsa.