PARIS, 29 Ogos - Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyarankan mana-mana pihak yang ingin menawarkan ganjaran kepada atlet yang memenangi pingat di Sukan Paralimpik Paris 2024 agar memberi penghargaan kepada yang selayaknya.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berpandangan ganjaran harus diberikan kepada mereka yang memenangi emas dan bukan pingat lain.
Cadangan itu katanya untuk mengelakkan persepsi layanan tidak sama rata antara atlet para dan atlet normal.
"Kalau pihak penaja ingin memberi kereta mereka atau apa jua, anda patut beri kepada juara, kepada atlet yang membawa emas untuk negara, itu yang patut anda bagi," katanya pada sidang media, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Megat D Shahriman turut memaklumkan berdasarkan laporan dari setiap pengurus sukan, kesemua 30 atlet negara telah bersiap sedia untuk berjuang menggalas tugas negara pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang berakhir pada 8 September ini.