KUCHING, 22 September - Penglibatan dalam bidang sukan dilihat sebagai penawar kepada keresahan atau kemurungan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dalam mengharungi kehidupan dengan keyakinan di samping mengejar impian dalam dunia kesukanan.
Tidak kira lahir dengan sesuatu kondisi atau kehilangan upaya akibat kemalangan atau kesihatan, bukan mudah untuk mana-mana individu untuk meneruskan hidup yang berbeza daripada majoriti masyarakat.
Antaranya adalah atlet memanah recurve dari Selangor, Shazleen Elneesha Saiful Azmi, yang hilang seluruh kaki kanannya akibat kanser lutut tahap empat ketika usianya baharu mencecah 12 tahun.
Shazleen Elneesha, 22, berkata pada awalnya beliau kemurungan, elak daripada bertemu orang dan banyak meratapi mengenang nasib malangnya, di kala rakan-rakan sebayanya mampu berlari dan melompat menikmati zaman kanak-kanak.
Beliau yang kemudian menceburi sukan memanah atas dorongan neneknya Faridah Osman kini akan beraksi dalam acara perseorangan wanita dan berpasukan campuran pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024.
“Dulu saya aktif sukan yang banyak menggunakan kaki seperti bola jaring dan bola tampar, selain kawad,, jadi apabila hilang kaki, saya memang putus asa. Titik perubahan adalah apabila saya dipanggil untuk memberi ceramah kepada anak-anak kanser mengenai kehidupan selepas kanser.
“Apabila saya kongsi cerita ke arah kehidupan yang positif, saya pun menjadi positif dan mahu mencipta kejayaan. Saya perlu ceburi sukan yang menggunakan tangan, jadi pilih memanah…Mula-mula saya seorang sahaja yang para, kemudian baru ada atlet para lain yang masuk,” katanya ketika ditemui Bernama semasa sesi penyesuaian di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya, hari ini.
Sementara itu, pemanah Kedah, K. Thilagavathy sedia mengharungi cabaran dan latihan keras sebagai atlet walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai isteri dan ibu kepada anak berusia lapan tahun.
Atlet berusia 35 tahun itu, yang turut bekerja sebagai jurulatih separuh masa dan menjalankan perniagaan bunga secara kecil-kecilan, berkata keluarganya menjadi dorongan utama beliau untuk kekal aktif dalam sukan itu.
“Saya memang lahir dengan kondisi kaki kanan yang bengkok dan terpaksa potong dan guna kaki palsu. Saya gembira dan bangga untuk menjadi seorang atlet, kerana ia dapat memberikan keyakinan dan keluar dari zon keselesaan.
“Pengurusan masa memang penting kerana saya perlu menjalani latihan, terutamanya apabila ada kejohanan. Saya berharap lebih ramai golongan OKU dapat menceburi sukan kerana ia akan memberikan matlamat dalam kehidupan…Saya juga menghargai sokongan suami dan anak, yang kerap menemani saya ke latihan dan banyak membantu,” katanya.
Thilagavathy, yang pernah meraih gangsa di Sukan Para ASEAN 2014 di Myanmar, berkata sekiranya mahu mencapai sesuatu dalam hidup, seseorang harus berusaha dan bekerja keras untuk mencapainya.
Faridah, 60, yang merupakan jurulatih skuad para memanah Selangor, berkata sukan merupakan alat yang penting buat golongan OKU untuk keluar dari kehidupan dengan perasaan tidak menentu dan kekecewaan.
“Sukan adalah jalan yang hebat untuk mereka mendedahkan dan membuktikan diri mereka, daripada hanya terkurung di rumah, sementara ibu bapa berasa malu kerana mempunyai anak kurang upaya.
“Malah, kami telah mengambil beberapa daripada mereka yang berasa sedih dengan kehidupan dan mendedahkan mereka kepada sukan. Ia membantu mereka keluar daripada kemurungan dan menjadikan diri mereka gembira,” katanya yang mempunyai pengalaman 33 tahun sebagai jurulatih memanah.
Saingan memanah yang menawarkan 14 pingat emas pada edisi kali ini akan bembuka tirai esok hingga Jumaat ini.- BERNAMA