KUCHING, 22 September - Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 yang bakal dibuka secara rasmi di Stadium Perpaduan di sini malam ini menjadi platform kelahiran bakat baharu termasuk lebih ramai atlet wanita bagi membawa cabaran negara di Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Setiausaha Agung MPM Datuk R. Subramaniam berkata pihaknya sememangnya mahu melihat lebih ramai atlet berpotensi lebih-lebih lagi dalam sukan olahraga mahupun renang memandangkan dua sukan berkenaan menawarkan pingat yang banyak dalam temasya sukan berprestij itu.
“Bayangkan dalam sukan olahraga ada 30 emas untuk acara 100 meter (m) sahaja. Di situlah terdapatnya peluang besar dan kita seperti tidak memberi tumpuan kepada perkara ini.
“Strategi kami melangkah ke hadapan adalah untuk mendapatkan lebih kategori dan mencapai keseimbangan jantina,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata MPM juga berhasrat menyaksikan satu per tiga atlet wanita menyertai kontinjen negara pada LA28 memandangkan banyak negara lain juga sudah mula mencapai tahap penyertaan lebih kurang setara bagi kedua-dua jantina terutamanya pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Subramaniam berkata penyertaan atlet wanita pada Sukan Paralimpik 2024 juga dilihat agak sedikit iaitu hanya enam daripada keseluruhan 30 atlet yang bertanding di kota Paris.
Enam atlet itu ialah Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Nur Jannaton Abdul Jalil (memanah) dan empat atlet berbasikal iaitu Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudinya Nurul Suhada Zainal serta Nur Suraiya Muhamad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi).
Sekiranya terdapat atlet baharu khususnya atlet muda yang berjaya mencipta nama pada Para SUKMA 2024, MPM tidak menolak kemungkinan mereka akan diberi peluang untuk bersaing bermula dari Sukan Para Asia Remaja 2025 di Uzbekistan, Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand dan Sukan Para Asia 2026 di Jepun.
Seterusnya beliau menambah bahawa ia bertepatan dengan hasrat MPM bagi merangka pelan jangka panjang buat atlet baharu untuk menyerlah di peringkat tertinggi dengan mencapai kemuncak prestasi pada Sukan Paralimpik kelak.
Berdasarkan prestasi kesemua negara terlibat di Paris 2024, Subramaniam menjangkakan cabaran lebih getir menanti kontinjen negara pada edisi LA28 dan disebabkan itu, usaha lebih giat perlu dilakukan dalam menggilap bakat baharu untuk ‘meletup’ di Amerika Syarikat.
Malaysia membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa pada Paris 2024 sekali gus tidak berjaya mencapai sasaran empat emas diletakkan MPM sebelum ini.
Sebanyak 328 pingat emas menjadi buruan atlet daripada 10 jenis sukan iaitu olahraga, powerlifting, badminton, renang, ping pong, boling padang, memanah, boccia, tenpin boling dan catur pada Para SUKMA 2024.- BERNAMA