fb fb fb fb fb

PARA SUKMA: Abd Halim idam gelaran atlet terbaik meskipun bertanding dalam acara baharu

Foto BERNAMA

KUCHING, 22 September - Walaupun terpaksa bersaing dalam acara baharu pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024, perenang para negara Abd Halim Mohammad tetap bertekad untuk dinobatkan sebagai atlet terbaik di Bumi Kenyalang.

Abd Halim, 26, yang mewakili Sabah, mendedahkan bahawa beliau telah memulakan latihan intensif sejak tiga bulan lalu di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan, Kuala Lumpur, selain turut berlatih bersama pasukan Negeri Di Bawah Bayu sejak seminggu lalu untuk memastikan impian itu menjadi kenyataan.

"Pada edisi kali ini, acara yang biasa saya sertai seperti 100m kuak dada, 50m gaya bebas, dan 200m individu rampaian tidak dipertandingkan, jadi saya perlu beralih ke acara 400m gaya bebas lelaki kategori S8/S9 (kecacatan fizikal)," jelasnya.

"... dan sebenarnya saya tidak pernah bertanding dalam kategori itu di mana-mana kejohanan sebelum ini, jadi ia merupakan pengalaman baharu buat saya. Namun, saya tetap yakin dengan kemampuan diri sendiri," katanya kepada Bernama.

Ketika ditanya mengenai kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan gaya latihan baharu, Abd Halim berkata ia adalah perkara biasa bagi seorang atlet, yang perlu cepat ‘menyerap’ segala ilmu daripada jurulatih dan menerapkannya dalam pertandingan di kolam renang.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata menjadi tanggungjawabnya bersama rakan-rakan seperjuangan untuk memastikan pasukan Sabah muncul juara keseluruhan acara renang, mengatasi kedudukan naib juara yang diraih pada edisi lepas di Kuala Lumpur.

"(Kemenangan itu nanti) pasti akan membantu Sabah mengekalkan gelaran juara keseluruhan dalam carta pingat terakhir," tambahnya.

Abd Halim bukanlah nama asing dalam arena renang, setelah menerima ganjaran tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan jumlah RM62,250 hasil kemenangan lima pingat emas dan satu gangsa di Sukan Para ASEAN 2023 di Kemboja.

Ketika itu, Abd Halim cemerlang dengan meraih emas dalam acara 200m rampaian individu SM8, 50m gaya bebas S8, 100m kuak dada SB8, 100m gaya bebas S8, dan 50m kuak dada SB, selain gangsa dalam acara 4x100m rampaian 34 pts.

Beliau turut memecahkan dua rekod temasya dalam acara 50m gaya bebas dan 50m kuak dada.- BERNAMA

Trainee2