KUCHING, 22 September - Atlet boling padang wanita Negeri Sembilan Hasmunirah Maliki ‘melupakan’ seketika persahabatan semasa berada di atas padang bertemu sahabat baiknya dalam misi mempertahankan pingat emas pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024.
Bercakap kepada Bernama, atlet berusia 30 tahun itu mengakui beliau berdepan ‘perang saraf’ apabila bakal bertemu rakan karibnya Nur Aisyah Tajudin yang sudah dikenali sejak 28 tahun di Para SUKMA kali ini apatah lagi sahabatnya itu sudah mengetahui segala teknik dan cara permainannya dalam sukan itu.
Hasmunirah yang juga merupakan atlet kebangsaan berkata beliau bagaimanapun tidak mahu tertekan dengan perkara itu dan hanya mahu fokus di atas gelanggang selain menganggap sahabatnya itu sebagai pembakar semangat dalam misi mengekalkan gelaran juara di Bumi Kenyalang ini.
“Di atas gelanggang dia lawan saya, di luar dia sahabat saya. Aisyah antara pencabar hebat yang tahu selok-belok taktikal dan emosi saya, memang saya rasa sedikit terganggu, perang saraf, tapi apabila melangkah ke padang saya buang semua tu, anggap macam pertandingan biasa.
“Kalau saya kalah dengan dia pun, tak rugi apa-apa kerana dia sahabat saya, dia yang bawa saya masuk ke sukan boling padang ini,” katanya kepada Bernama pada aksi sukan boling padang peringkat kumpulan di Arena Lawn Bowl Sarawak hari ini.
Sementara itu, Hasmunirah menyifatkan rakan sepasukannya yang beraksi dalam acara terbuka beregu memulakan Para SUKMA dengan langkah kanan apabila masing-masing memenangi aksi peringkat kumpulan hari ini.
“Ini langkah yang positif dalam misi Negeri Sembilan pertahankan juara keseluruhan seperti edisi lepas. Pada tahun 2022 di Kuala Lumpur, kita dapat dua pingat emas, harapnya pasukan kami peroleh tiga emas untuk edisi kali ini,” katanya.
Terdahulu, aksi boling padang peringkat kumpulan B7 (Kecacatan Fizikal) menyaksikan skuad Negeri Sembilan yang dibarisi Norazian Daud-Mohd Adlan Abu Talib mendahului Kumpulan DD selepas menewaskan skuad tuan rumah 14-10 sebelum mengetepikan pasukan Kelantan 13-8 pada aksi kedua.
Keputusan itu menyaksikan skuad Negeri Sembilan mendahului kedudukan Kumpulan DD diikuti Kelantan yang menang dalam satu lagi aksi bertemu Melaka 15-6, manakala Melaka dan Sarawak masing-masing di tempat ketiga dan keempat. - BERNAMA