fb fb fb fb fb

Para Sukma: ‘Sang Kudung’ kekal teguh, buru emas ke-20 di Bumi Kenyalang

Foto BERNAMA

KUCHING, 22 September - Setelah lebih dua dekad mengalami kehilangan lengan kiri akibat nahas jalan raya, Hisam Che Soh @ Yusof tidak pernah menyangka bahawa beliau kini semakin menghampiri kejayaan meraih 20 pingat emas sepanjang 10 tahun penglibatannya dalam Para Sukan Malaysia (Para SUKMA).

Menceritakan latar belakangnya, wakil Terengganu berusia 43 tahun yang menyertai acara lontar peluru F46 (kecacatan fizikal) dan lempar cakera, Hisam mengakui hampir memilih untuk menjadi atlet renang berdasarkan pengalaman dan kelayakannya sebagai jurulatih renang.

Namun, segala-galanya berubah apabila beliau, yang mesra disapa sebagai ‘Sang Kudung’ di kampung, dipilih sebagai anak didik seorang guru di Kemaman, Terengganu. Sejak itu, beliau memulakan pengembaraan dalam dunia olahraga yang seolah-olah telah tertanam dalam jiwanya sejak kecil.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini menggambarkan peluangnya menyertai kejohanan dwitahunan itu pada 2004 di Perak sebagai ‘rezeki terpijak’, di mana beliau berjaya membawa pulang dua pingat emas dan memecahkan rekod temasya.

“Saya terlibat dalam kemalangan pada 2002 dan kehilangan tangan kiri akibat terkena bingkai cermin kereta ketika menunggang motosikal. Selepas itu, saya memang mengalami saat sukar, tetapi rezeki menyebelahi saya apabila diterima masuk ke SUKMA pada 2004,” katanya kepada Bernama.

Sepanjang 10 edisi itu, Hisam telah meraih 18 pingat emas (dua emas setiap edisi) dan kini sedang memburu emas ke-19 dan 20.

Beliau mengakui, “Bukan ingin mendabik dada, tetapi mungkin saingan dari generasi muda sekarang kurang kerana mereka tidak cukup berminat.”

Hisam yang pernah diserap ke dalam skuad kebangsaan pada 2006 terpaksa berhenti sembilan tahun kemudian (2015) untuk menjaga arwah ayahnya yang sakit. Walau bagaimanapun, cintanya terhadap sukan tidak pudar, dan beliau terus berlatih di rumah.

“Saya berhenti dari pasukan kebangsaan bukan kerana prestasi yang tidak memuaskan, tetapi kerana sukar untuk ulang-alik menghantar ayah ke hospital. Kini, sudah hampir lima tahun arwah ayah meninggalkan saya,” katanya.

Beliau bagaimanapun sedikitpun tidak terkilan kerana sukan lontar peluru dan lempar cakera masih boleh dijadikan ‘lubuk rezeki’ untuk menyara keluarga.

“Saya berhenti pasukan kebangsaan bukan sebab gaya permainan yang tidak bagus tetapi sebab susah nak ulang-alik hantar ayah di hospital dan sekarang nak dekat lima tahun sudah arwah ayah meninggalkan saya.

“Lagipun, apa yang diperjuangkan ini semua kerana isteri, sebab dia memang sangat memahami kehendak diri saya. Bagi saya, isteri saya adalah sempurna,” katanya.

Temasya Para SUKMA 2024 akan dibuka secara rasmi hari ini hingga 28 Sept, dan sebelum ini dikenali sebagai Sukan Orang Cacat Malaysia (1982-1996) dan Sukan Paralimpiad Malaysia (1998-2016).- BERNAMA

Trainee2