LOS ANGELES, 25 September – Papan luncur milik legenda sukan ekstrem, Tony Hawk, yang digunakan ketika melakukan aksi bersejarah “900” pada X Games 1999 dilelong pada harga AS$1.15 juta (RM5.4 juta), mencatatkan rekod baharu bagi memorabilia papan luncur.
Menurut Julien’s Auctions, acara lelongan itu mencatat nilai lebih dua kali ganda daripada anggaran prajualan. Hasil jualan akan disalurkan kepada The Skatepark Project (TSP), sebuah pertubuhan bukan untung yang diasaskan Hawk bagi membina taman luncur awam di kawasan kurang mendapat perhatian.
Selain papan luncur berkenaan, beberapa peralatan perlindungan yang dipakai Hawk semasa melakukan aksi tersebut turut menerima bidaan tinggi, termasuk kasut jenama Adio bernilai AS$64,000, topi keledar AS$115,200 dan pelindung lutut AS$57,600.
“Hasil bersejarah ini bukan sahaja satu kejayaan buat Julien’s Auctions, malah bagi budaya papan luncur dan dunia koleksi,” kata pengasas bersama syarikat itu, Martin Nolan.
Antara barangan lain yang dilelong ialah papan luncur Powell-Peralta model 1982 bernilai AS$57,600, jaket bertema The Simpsons (AS$6,400) serta pingat gangsa Vert Finals X Games 1999 (AS$8,960). -REUTERS