PHOENIX, 25 September – Jawatankuasa playoff Siri Piala NASCAR selesai bermesyuarat bagi membincangkan perubahan format kejuaraan, namun sebarang pengumuman hanya akan dibuat selepas musim berakhir pada 2 November ini.
Menurut Pengarah Urusan Komunikasi NASCAR, Mike Forde kepimpinan badan itu akan meneliti maklum balas jawatankuasa sebelum membuat keputusan muktamad demi kepentingan sukan dan peminat.
Beliau menjelaskan, NASCAR tidak mahu mengumumkan format baharu sebelum aksi penutup musim di Phoenix kerana bimbang menjejaskan nilai kejuaraan tahun ini.
Sejak meninggalkan sistem kutipan mata sepanjang musim pada 2004, NASCAR telah menggunakan lima format playoff berbeza.
Format semasa sejak 2017 menampilkan 16 pelumba bersaing dalam 10 perlumbaan terakhir dengan penyingkiran setiap tiga perlumbaan sehingga empat pelumba akhir merebut gelaran pada perlumbaan penutup.
Bagaimanapun, format perlumbaan tunggal penentu kejuaraan dijangka dimansuhkan selepas menjadi topik perbahasan utama.
Dengan dua perlumbaan berbaki sebelum playoff dipendekkan kepada lapan pelumba, Ryan Blaney kini mendahului kedudukan selepas memenangi Mobil 1 301 di Litar Lumba New Hampshire pada Ahad lalu. -REUTERS