NEW YORK, 25 September – FIFA dilapor mempertimbangkan cadangan untuk memperluaskan saiz Piala Dunia kepada 64 pasukan sempena ulang tahun ke-100 kejohanan itu pada 2030, berbanding format 48 pasukan yang akan bermula pada edisi 2026.
Cadangan yang pertama kali dikemukakan Persatuan Bola Sepak Uruguay pada Mac lalu itu menimbulkan kebimbangan kerana bakal melibatkan 128 perlawanan sekali gus memberi tekanan kepada jadual bola sepak antarabangsa yang padat.
Presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Alejandro Dominguez dalam kenyataan di media sosial menegaskan, sambutan Piala Dunia perlu lebih kreatif dan bersifat global sempena edisi bersejarah berkenaan.
Edisi 2030 bakal berlangsung di tiga benua dengan enam negara tuan rumah iaitu Paraguay, Uruguay, Argentina, Sepanyol, Portugal dan Maghribi.
FIFA bagaimanapun belum membuat keputusan muktamad mengenai peluasan kepada 64 pasukan itu. -REUTERS