PARIS, 28 Julai- Lee Zii Jia turun membuka gelanggang aksi kumpulan D bagi perseorangan lelaki di Olimpik Paris 2024.
Zii Jia yang berdepan pemain ranking ke-72, Viren Nettasinghe dari Sri Lanka itu tidak berdepan masalah besar untuk aksi pertamanya, petang tadi.
Beraksi di temasya Olimpik kedua dalam kariernya, Zii Jia dilihat tenang menghadapi Viren apabila menang set pertama dengan mata 21-14.
Momentum positif itu diteruskan pada set kedua apabila wakil tunggal perseorangan lelaki negara itu menutup perlawanan dengan straight sets, menang 21-12.
Pada perlawanan kedua, Zii Jia seterusnya akan bertemu Pablo Abian dari Sepanyol pada Rabu depan.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei cemerlang apabila mengesahkan kemaraan ke suku akhir apabila mudah menundukkan gandingan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jenny Gai dengan straight sets.
Beraksi di La Chapelle arena, Tang Jie- Ee Wei tidak memberikan banyak peluang untuk lawan merapatkan kedudukan sebelum menang 21-15.
Namun di set kedua, mereka menerima tentangan hebat dengan perlawanan berlarutan sehingga mata 'deuce', 20-20.
Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei akhirnya berjaya menamatkan perlawanan dengan keputusan 24-22.
Gandingan itu akan berdepan pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, esok.