fb fb fb fb fb

Olimpik: Pearly Tan-M.Thinaah bangkit, tewaskan wakil Jepun

Foto RTM

PARIS, 28 Julai- Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah cipta kebangkitan apabila merakam kemenangan pertama dalam perlawanan kedua kumpulan D, temasya Olimpik Paris 2024.

Setelah tumpas perlawanan pertama di tangan pilihan utama dari China semalam, pasangan itu turun hari ini berdepan beregu nombor enam dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun.

Set pertama berlangsung sengit namun mereka gagal mengatasi lawan apabila tumpas, 18-21.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat mereka apabila tampil dengan corak permainan berbeza di set kedua untuk menang 21-15.

Momentum itu diteruskan di set penentuan, sekali gus menambah tekanan buat gandingan Jepun dan menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-16.

Mereka akan bertemu wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada aksi terakhir kumpulan esok.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila meraih kemenangan kedua kumpulan A di temasya Olimpik Paris 2024.

Biarpun terpaksa bermain tiga set pada perlawanan pertama semalam, Aaron dan Wooi Yik dilihat kekal bertenaga untuk membenam Adam Dong-Nyl Yakura dari Kanada.

Enggan mengheret perlawanan terlalu lama, juara dunia 2020 itu mempamerkan permainan pantas untuk menang 21-10, 21-15.

Dengan dua kemenangan, mereka telah layak ke suku akhir dengan berbaki satu lagi perlawanan menentang pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang esok untuk perebutan juara kumpulan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM