fb fb fb fb fb

Olimpik Paris 2024: Kontinjen negara ambil langkah waspada

Datuk Hamidin Mohd Amin / Foto Bernama

PARIS, 29 Julai - Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan keselamatan setiap anggota kontinjen negara diutamakan sepanjang cabaran memburu emas di Perancis.

Tegasnya, sekretariat kontinjen sentiasa mengemas kini maklumat keselamatan daripada pusat kawalan dan pemantauan (NOC).

Beliau berkata, pihaknya turut mendapat nasihat dan maklumat terkini daripada Kedutaan Malaysia di Paris berhubung langkah-langkah berjaga di sekitar lokasi strategik dan venue pertandingan serta latihan.

Datuk Hamidin turut menasihatkan semua atlet dan jurulatih agar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang termaktub dari segi penggunaan pengangkutan, pergerakan dalam dan di luar perkampungan sukan serta sekitar venue latihan dan pertandingan.

Kontinjen Malaysia juga dinasihat agar menghadkan pergerakan mereka.

Beliau mengulas mengenai laporan media bahawa pusat media utama (MPC) ditutup sementara apabila pihak keselamatan Perancis menerima ancaman bom.

Selain 26 atlet dan 40 pegawai yang membentuk kontinjen negara, seramai 25 pengamal media dari Malaysia sedang bertugas di Paris.

Sementara itu, MPC Sukan Olimpik Paris 2024 telah kembali beroperasi seperti biasa dengan menyediakan ruang kerja dan perkhidmatan untuk para wartawan dari seluruh dunia.

Operasi pusat media berkenaan berjalan sepenuhnya dengan protokol keselamatan biasa dan anggota keselamatan meronda sekitarnya.

Terdahulu, beberapa media melaporkan bahawa polis Perancis menutup sementara kawasan sekitar pusat media berkenaan pada Sabtu kerana risiko letupan namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak penganjur.

Dilaporkan wartawan dan penduduk telah dipindahkan manakala punca risiko tersebut tidak didedahkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN