fb fb fb fb fb

RTM raih tempat ke-4 acara Boling BSN-Media

Pertandingan BSN Media Bowling berlangsung pada 28 Julai 2024/ Foto BSN

PETALING JAYA, 29 Julai- Pasukan boling Radio Televisyen Malaysia (RTM) meraih tempat keempat dalam Pertandingan Boling BSN Media Meet 2024-Bowl & Bond, pada Ahad.

Acara berlangsung di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.

Pasukan RTM dibarisi kakitangan Seksyen Berita Radio, Mohd Fadli Othman, Jalaluddin Baharin, Khairol Azwan Arba dan M. Faizal Fahmy Assunu.

Mereka berjaya menjatuhkan sebanyak 1,029 pin dalam dua permainan serta membawa pulang piala dan hamper.

Juara milik pasukan TV9, manakala naib juara milik Bernama dan ketiga pasukan Meshahmor.

Sebanyak 14 agensi media tempatan menyertai acara tersebut.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik Bank Simpanan Nasional (BSN), Aizurra Mellisa Muzammil berkata aktiviti bersama media tersebut bertujuan merapatkan silaturahim dan menghargai sumbangan media dalam membantu menyalurkan maklumat berkaitan BSN.

"Aktiviti bersama media ini juga bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-50 BSN. Terima kasih pada semua yang meluangkan masa bersama kami hari ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang.

ROSLINA BINTI DIN