fb fb fb fb fb

Hadjar teruja prospek bergandingan dengan Verstappen

Isack Hadjar bercita-cita bergandingan dengan Max Verstappen / Foto AFP

DOHA, 28 November - Bintang baharu Formula One, Isack Hadjar akan menghargai peluang luar biasa untuk menjadi rakan sepasukan Max Verstappen bersama Red Bull, musim depan.

Pelumba muda berusia 21 tahun itu yang kini beraksi dengan Racing Bulls, adalah calon pilihan utama untuk menggantikan Yuki Tsunoda bergandingan dengan Verstappen pada 2026.

Laporan media menyebut, Red Bull dijangka mengesahkan identiti rakan sepasukan baru Verstappen, minggu depan.

Menyedari cabaran besar yang bakal menantinya, pelumba Perancis itu tetap melihat kerjasama dengan Verstappen sebagai langkah penting dalam kerjayanya.

"Bersaing dengan rakan sepasukan saya menjadikan saya selalu lebih kuat,” tetapi “bersama (pelumba) yang terbaik di dunia, ini adalah peluang luar biasa untuk belajar,” katanya Hadjar kepada AFP di Doha menjelang Grand Prix Qatar hujung minggu ini.

Hadjar juga akui tugas berat yang bakal dipikul jika dipilih untuk memandu kereta kedua Red Bull bersama juara empat kali berturut-turut itu.

Apabila ditanya sama ada beliau mampu mengalahkan pemandu Belanda itu jika dipilih sebagai rakan sepasukan, Hadjar menjawab dengan tegas “Tidak”.

“Dia (Verstappen) lebih baik dari segi semua aspek, memandu lebih baik, melakukan sedikit kesilapan, dan juga mempunyai lebih banyak pengalaman,” kata Hadjar.

Pada penampilan pertama pada musim ini, Hadjar menunjukkan prestasi yang menggagumkan, menaiki podium di kedudukan ketiga dalam saingan Grand Prix Belanda.

Beliau kini berada di tangga kesembilan keseluruhan dengan mengumpul 51 mata.

Verstappen pula masih berpeluang memburu gelaran juara dunia kelima berturut-turut dengan berbaki dua kejohanan.

Beliau dan Oscar Piastri, masing-masing ketinggalan 24 mata di belakang pemandu McLaren, Lando Norris. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN