KUALA LUMPUR, 28 November - Skuad hoki 5 sebelah negara (5s) yakin mampu meraih pingat emas pada Sukan SEA Thailand apabila acara itu dipertandingkan buat pertama kali.
Pengurus pasukan Hoki 5s, Hasnizam Hassan berkata, pasukan lelaki berpeluang besar untuk muncul juara berdasarkan pengalaman skuad pemain pilihan bertanding dalam pelbagai kejohanan kompetitif sebelum ini, sekali gus memberi mereka kelebihan untuk beraksi cemerlang.
"Barisan pasukan lelaki ini kalau kita tengok kejayaan sebelum ini adalah naib johan pada Kejohanan World Cup (Piala Dunia) di Oman dan skuad dibarisi oleh beberapa orang pemain yang pernah mewakili Malaysia iaitu dalam Sukan Olimpik Remaja pada 2013 dan juga Piala Dunia Hoki pada 2024," katanya pada sidang media pengumuman skuad lelaki dan wanita, di sini, hari ini.
Akhimullah Anuar Esook, pemain terbaik hoki 5s negara, akan mengetuai pasukan kebangsaan bersama rakan sepasukan termasuk Adrian Albert, Mohamad Akmal Yussaini, Muhammad Arif Syafie Ishak, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Syarman Mat Tee, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee, Muhammad Muhibuddin Moharam, dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini.
Sementara itu, dalam pasukan wanita, tiga pemain yang berpengalaman beraksi di Piala Dunia 5s 2024 iaitu Nurul Safiqah Mat Isa, Dian Nursyakira Najwa Al Qadqa Nazeri, dan Nur Shafika Ahmad Kamal yang akan membawa cabaran negara dalam usaha mencapai sasaran meraih pingat perak.