fb fb fb fb fb

Olimpik Paris: Perenang Brazil dihantar pulang selepas lawat Menara Eiffel

FOTO INSTAGRAM _anavieeiraa

PARIS, 30 Julai- Seorang perenang Brazil dihantar pulang daripada Sukan Olimpik Paris selepas melawat Menara Eiffel tanpa kebenaran dengan menyusup keluar dari perkampungan atlet.

Jawatankuasa Olimpik Brazil (COB) memaklumkan Ana Vieira meninggalkan perkampungan itu bersama rakan perenang Gabriel Santos tanpa kebenaran pada Jumaat lepas.

Perjalanan itu dilaporkan diketahui oleh pegawai kerana mereka memuat naik gambar di media sosial.

Santos menerima amaran manakala Vieira disingkirkan daripada pasukan kerana bertindak "secara tidak menghormati dan agresif" apabila ditegur mengenai kesalahannya.

"Kami tidak berada di sini untuk berseronok atau bercuti. Kami berada di sini untuk bekerja untuk Brazil, bagi lebih 200 juta pembayar cukai yang bekerja untuk kami," menurut  kenyataan.

Tambah kenyataan itu, Vieira akan dihantar pulang ke Brazil serta merta.

Vieira, 22, sepatutnya bertanding pada Sabtu dalam acara berganti-ganti gaya bebas berpasukan 4x100 meter yang menduduki tempat ke-12 dalam saringan. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA