fb fb fb fb fb

Olimpik Paris 2024: Pearly Tan dan M Thinaah sahkan tempat ke suku akhir

Pearly Tan (kanan) dan M Thinaah / Foto RTM

PARIS, 30 Julai - Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah mengesahkan tempat ke slot suku akhir Olimpik Paris 2024.

Mereka menumpaskan gandingan ke-8 dunia dari Indonesia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti, 21-18, 21-9 dalam aksi terakhir kumpulan A.

Pearly dan Thinaah turun ke gelanggang La Chappelle Arena, di sini hari ini dengan misi mencari kemenangan kedua.

Aksi yang dipamerkan kedua-dua beregu nyata tidak mengecewakan apabila kerap melakukan asakan-asakan pantas sebelum menang 21-18.

Pada aksi set kedua, gandingan ke-12 dunia itu terus agresif untuk menguasai perlawanan.

Mereka berjaya menyekat kebangkitan Apriani dan Siti Fadia dengan kemenangan mudah 21-9 sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir selaku naib juara kumpulan A.

Sementara itu, kejayaan mara ke suku akhir memberikan suntikan moral tambahan buat Pearly Tan dan M Thinaah dalam penampilan sulungnya di temasya ini.

Menurut Pearly, cabaran sukar yang dilalui dalam peringkat kumpulan memberi peluang untuk mereka cepat menyesuaikan diri.

"Saya rasa berdepan lawan yang kuat sejak peringkat kumpulan amat bagus kerana kami dapat bersedia untuk perlawanan-perlawanan lebih sukar selepas ini," kata Pearly ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN