KUALA LUMPUR,25 Julai-Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat sebagai pasangan tunggal yang berpotensi meraih pingat di Olimpik Paris.
Pandangan tersebut disuarakan oleh legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek.
Menurutnya, beregu negara yang menghuni ranking keempat dunia itu seharusnya tidak menghadapi masalah melepasi saingan peringkat Kumpulan A walaupun perlu berdepan pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Jelasnya, halangan sebenar Aaron-Wooi Yik adalah di peringkat separuh akhir apabila perlu berdepan tiga pasangan terbaik dunia.
Selain Wei Keng-Wang Chang, beregu harapan negara perlu menghadapi cabaran gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Berdasarkan rekod, Aaron-Wooi Yik pernah mencatat dua kemenangan berdepan Wei Keng-Wang Chang selain menang lapan daripada 11 pertemuan dengan Satwiksairaj-Chirag.
Gandingan negara itu juga menang empat daripada lapan perlawanan berdepan Fajar-Muhammad Rian.