fb fb fb fb fb

Olimpik Paris 2024: Pearly-Thinaah gagal ke pusingan akhir

Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah

PARIS, 2 Ogos - Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah yang mencipta sejarah mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 terpaksa akur dengan kehebatan gandingan nombor satu dunia, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan sekali lagi, hari ini.

Pada aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena, regu wanita negara itu gagal mara ke pusingan akhir selepas tewas 12-21, 21-18, 15-21 dalam pertarungan sengit selama 78 minit.

Qing Chen dan Yi Fan yang telah menewaskan mereka di peringkat kumpulan nyata menguasai set pertama dengan taktikal ampuh dan pukulan smash kencang untuk menekan gandingan negara.

Ia berhasil apabila Pearly dan Thinaah kerap melakukan kesilapan sekali gus tewas 12- 21.

Pada set kedua, perubahan strategi mereka dilihat berhasil.

Semangat tidak mahu mengalah yang dipamerkan berjaya memberi tekanan kepada lawan apabila berjaya mengejar rapat sebelum menang 21-18.

Namun pada set penentuan, Qing Chen dan Yi Fan kembali agresif, mengasak ke seluruh gelanggang.

Biarpun Pearly dan Thinaah cuba untuk mengubah keadaan, namun mereka terpaksa akur, tumpas 15-21.

Bagaimanapun, regu wanita negara itu masih berpeluang mencipta sejarah selaku pemenang pingat pertama Malaysia dalam acara itu apabila bertemu pasangan nombor lima dunia, Liu Sheng Shu dan Tang Ning dari China atau Nami Matsuyama dan Chiharu Shida dari Jepun pada aksi penentuan pingat gangsa esok.

Dalam pada itu, ditemui selepas selesai perlawanan, Pearly dan Thinaah mahu terus kekal fokus biarpun gagal melangkah ke pusingan akhir.

Jelas Pearly, perjuangan mereka belum tamat apabila bakal beraksi dalam penentuan pingat Gangsa.

"Kita memang fokus pada setiap mata dan tidak memberikan mereka mata mudah sampai habis perlawanan. Kami punya corak permainan ialah untuk teruskan momentun dari segi mental, ambil yang positif untuk hari ini dan esok," kata Pearly.

 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN