fb fb fb fb fb

Olimpik Paris 2024: Beregu China sekat kemaraan Aaron-Wooi Yik

Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik

PARIS, 2 Ogos - Hasrat beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk memperbaiki pencapaian di temasya Olimpik empat tahun lepas tidak kesampaian.

Mereka tumpas kepada pilihan utama, Liang Wei Keng dan Wang Chang dari China dalam pertarungan tiga set di pusingan separuh akhir.

Pada perlawanan yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu, kedua-dua beregu negara menyajikan permainan yang cukup menarik dan penuh bertenaga.

Masing-masing tidak memberikan banyak ruang untuk pihak lawan mendapat kelebihan sehinggalah mata terikat 19-19.

Kesilapan yang dilakukan Aaron dan Wooi Yik membolehkan Wei Keng dan Wang Chan meraih dua mata untuk menang 21-19.

Aaron dan Wooi Yik kemudian bangkit di set kedua dengan permainan lebih kemas, sekali gus memberi tekanan kepada pihak lawan.

Aksi pantas dan serangan yang efektif memastikan kemenangan 21-15.

Namun di set ketiga, corak permainan mereka dilihat sedikit terganggu apabila kerap melakukan kesilapan.

Situasi itu digunakan China untuk terus menjarakkan mata dan menang 21-17 dalam tempoh keseluruhan 72 minit.

Selepas ini, mereka akan beraksi dalam penentuan pingat Gangsa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN