PARIS, 3 Ogos - Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengembirakan penyokong Malaysia di Paris apabila berjaya menepah slot separuh akhir di Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau mara selepas menundukkan pemain ranking ke-3 dunia, Anders Antonsen dari Denmark di suku akhiri di Porte de La Chapelle Arena pada awal pagi tadi.
Setelah dua wakil beregu negara tersingkir di separuh akhir, Zii Jia turun dengan membawa harapan besar penyokong Malaysia dalam misi memburu pingat emas pertama negara di pentas Olimpik.
Set pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pemain saling mengejar mata.
Namun di hujung perlawanan, Zii Jia yang menduduki ranking ke-7 dunia dilihat lebih menyerlah untuk menang 21-17.
Di set kedua, Zii Jia terus mengekalkan ketenangan untuk melayan asakan Antonsen.
Tidak terburu-buru untuk mengutip mata, Zii Jia bijak menunggu masa sesuai untuk mematikan langkah lawan sekali gus mengesahkan kemenangan 21-15.
Selepas ini Zii Jia akan bertemu pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir.
Beliau yang ditemui RTM selepas perlawanan, berkata tumpuannya kini adalah untuk memberikan aksi terbaik apabila turun berdepan penyandang juara dunia Kunlavut Vitidsarn dalam usaha merebut tempat ke saingan akhir di Paris.
"Dia (Kunlavut) pun salah seorang world champion juga, jadi saya rasa dia pun tengah top form dan saya kena bersedia (untuk ke separuh akhir)," katanya.