PARIS, 2 Ogos- Pemanah negara, Nurul Azreena Mohamad Fazil gagal meneruskan saingan acara Recurve Individu Wanita di Olimpik Paris 2024 selepas tumpas 0-6 kepada atlet Turkiye, Gokkir Elif Berra di pusingan penyingkiran pertama.
Beraksi di lapangan memanah Invalides, Azreena tewas set pertama dengan 27-29.
Percubaan untuk mengikat kedudukan di set kedua tidak menjadi apabila hanya mampu mengutip 22 markah berbanding Gokkir yang meraih 27 markah.
Set ketiga, Gokkir terus konsisten mencatat 27 markah, 2 mata mengatasi Azreena, sekali gus layak ke pusingan 16 terakhir.
Bagaimanapun, Nurul Azreena yang membuat penampilan sulung di Olimpik Paris 2024 menyifatkan ia pengalaman yang berharga.
"Selepas ini saya rancang, ambil semua apa yang terjadi di Sukan Olimpik ini sebagai pengajaran dan teruskan cuba untuk membuat yang lebih baik", katanya kepada pemberita di sini.
Tambahya, terdapat beberapa perkara termasuk teknik panahan yang perlu diasah untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.
Sebelum beraksi dalam acara perseorangan, Azreena bersama rakan sepasukan Ariana Nurdania Zairi dan Syaqiera Mashayikh juga bertanding dalam acara trio yang menyaksikan mereka turut tersingkir awal.