KUALA LUMPUR, 9 Julai- Kesemua kontinjen negara ke Paris tidak dibenarkan keluar dari perkampungan atlet atas faktor keselamatan.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata ia susulan ketidakstabilan politik yang sedang melanda negara itu.
"Kerajaan Perancis menzahirkan komitmen tinggi berhubung aspek keselamatan atlet. Semua atlet, jurulatih dan juga pegawai berada dalam lokasi perkampungan dimana ia dikawal rapi oleh pihak keselamatan."
"Jadi, ditempat latihan dikawal ketat dan juga di tempat pertandingan. Selain itu, mereka juga tidak boleh keluar dari tempat penginapan mereka. Saya cukup yakin, insya-Allah dan kita harap perkara tidak diingini tidak akan berlaku," kata Hamidin kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman penajaan Samsonite untuk kontinjen Malaysia ke sukan Olimpik Paris 2024 di ibu negara.
Sementara itu, Datuk Hamidin turut menasihati atlet negara untuk menjaga kesihatan dan keselamatan ketika latihan.
Langkah itu penting bagi memastikan mereka bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk hadapi temasya Olimpik di Paris.
"Nasihat saya kepada atlet, kita ada hampir 17 hari lagi. Jadi, kita harap mereka dapat menjaga kesihatan ataupun berhati-hati untuk dalam latihan, sebelum bermulanya olimpik ini."
"Kalau tidak nanti, kita rugi pula. Sebelum kejohanan bermula ada yang cedera dan tidak dapat bermain," tambah Hamidin.
Bulan lalu, pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir terlibat dalam kemalangan ketika menyertai pertandingan di Belgium.
Bagaimanapun beliau sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk beraksi pada temasya yang akan membuka tirai pada 26 Julai.