fb fb fb fb fb

Olimpik Paris 2024: Raih emas sulung, jadi sasaran tunggal negara

Menteri KBS, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 9 Julai- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal dengan sasaran, hanya satu pingat emas pada temasya sukan Olimpik Paris 2024.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata ia adalah misi utama kontinjen negara pada temasya berkenaan.

"Kita berharap sama ada berbasikal, badminton serta sukan-sukan lain juga. Apabila atlet layak ke temasya sukan berprestij itu bermakna mereka mempunyai peluang untuk bawa pulang pingat."

"Bukan kita tidak mahu gangsa dan perak, tetapi hasrat negara adalah untuk Malaysia mendapat pingat emas pertama pada edisi kali ini," kata Hannah kepada pemberita pada majlis kerjasama antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan BubblesO2 di ibu negara.

Tambah Hannah, pihak MSN sedang giat dalam mempersiapkan kontinjen negara untuk terlihat megah ketika majlis perarakan di Paris nanti.

Secara rasmi, 26 atlet negara telah mengesahkan tempat beraksi di temasya yang akan membuka tirai pada 26 Julai depan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM