fb fb fb fb fb

Olimpik: Maghribi raih gangsa acara bola sepak

Foto REUTERS

NANTES, 9 Ogos- Skuad Maghribi berjaya meraih gangsa pada pertandingan bola sepak lelaki Sukan Olimpik Paris selepas membelasah Mesir 6-0 pada perlawanan penentuan pingat gangsa yang diadakan di La Beaujoire Stadium di sini.

Pada perlawanan tersebut, Maghribi membuka pesta jaringan menerusi Ezzalzouli pada minit ke-23 permainan sebelum menambah jaringan menerusi Soufiane Rahimi pada minit ke-26 yang menanduk masuk hantaran Ezzalzouli.

Maghribi terus 'bernafsu' menambah gol menerusi gol ketiga menerusi El Khannouss pada minit ke-32 yang merembat masuk hantaran Ezzalzouli.

Soufiane Rahimi menambah derita Mesir dengan gol keempat yang juga gol kelapannya pada pertandingan kali ini sekali gus menjadikannya penjaring terbanyak pada temasya Olimpik kali ini.

Gol kelima Maghribi dijaringkan oleh Akram Nakach pada minit ke-73 sebelum Achraf Hakimi menjaringkan gol keenam pada minit ke-87.

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan terbesar yang dicatatkan pada kejohanan bola sepak Olimpik setakat ini.

Kemenangan berkenaan turut memberikan pingat pertama buat kontinjen Maghribi pada temasya Olimpik kali ini.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD