fb fb fb fb fb

Olimpik 2024: Aaron-Wooi Yik muncul naib juara kumpulan, tewas kepada pilihan utama

Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik

PARIS, 30 Julai-Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekadar menjadi naib juara kumpulan A selepas tunduk kepada pilihan utama dari China, Wei Keng-Wang Chang 22-24, 14-21 dalam pertarungan selama 42 minit.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen dengan menewaskan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 pada Sabtu sebelum mengesahkan tiket suku akhir dengan menyingkirkan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15 semalam.

Pada pertemuan dengan Wei Keng-Wang Chang, Aaron-Wooi Yik selaku pasangan nombor empat dunia itu melakukan usaha berani pada set pertama untuk mengejar daripada ketinggalan lima mata kepada 20-20 tetapi gagal melakukan penyudahan.

Kembali ke set kedua, Wei Keng-Chang, penyandang juara Asia, kekal mengawal perlawanan untuk melebarkan rekod kemenangan menentang lawan mereka kepada tujuh dalam sembilan pertemuan.

Sementara itu, permulaan baik bagi pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei apabila merakam kemenangan pada aksi sulung Kumpulan H, di La Chapelle Arena semalam.

Membuat kemunculan pertama di pentas Olimpik, Jin Wei dilihat berdepan kesukaran pada set pertama.

Kerap melakukan kesilapan, dia hampir dikejutkan pemain di ranking ke-103 dunia dari Afrika Selatan, Johanita Sholtz sebelum menang 23-21.

Set kedua, Jin Wei dilihat selesa bermain dan berjaya mengawal permainan untuk menang mudah 21-11.

Jin Wei yang ditemui selepas perlawanan mengakui, perlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri.

"Set pertama memang agak tegang. Mungkin kerana faktor pertandingan.Namun, saya akan cuba sesuaikan diri", katanya ketika ditemui RTM selepas perlawanan.

Perlawanan seterusnya, Jin Wei akan berdepan pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun.

Kemenangan akan memastikan tempatnya ke pusingan kalah mati.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD