OLYMPIA, 27 November - Obor bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina 2026 telah dinyalakan pada Rabu dalam sebuah majlis sederhana di Olympia berikutan amaran cuaca, menandakan langkah terakhir penganjur menjelang acara pada Februari depan.
Dengan matahari memancar di luar, para pegawai yang berada dalam muzium arkeologi Olympia menyaksikan majlis ringkas itu dengan paparan video menunjukkan nyalaan obor semasa latihan pada Isnin lalu di stadium purba, sebelum api tersebut dibawa masuk ke muzium untuk majlis menyalakan obor.
Atelt Greece, Petros Gaidatzis, menjadi pembawa obor pertama meninggalkan muzium, diikuti atlet Itali, pemenang pingat Olimpik berbilang dalam ski rentas desa, Stefania Belmondo, untuk sesi bersama dalam acara perarakan obor.
Selepas seminggu perarakan di Greece, obor tersebut akan diserahkan di Athens kepada penganjur Itali pada 4 Disember sebelum dibawa ke Itali untuk perarakan domestik yang berlangsung selama beberapa bulan.
Obor tersebut akan melalui 60 bandar dan 300 pekan di Itali dengan seramai 10,001 pembawa obor, sebelum tiba di Cortina D’Ampezzo pada 26 Januari tepat 70 tahun selepas majlis pembukaan Sukan Olimpik 1956 di lokasi yang sama.
Perjalanan tersebut akan berakhir di Milan, memasuki Stadium San Siro pada malam 6 Februari untuk majlis pembukaan temasya.-REUTERS