KUALA LUMPUR, 27 November - Selangor FC akhirnya meraih mata pertama dalam kempen Liga Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26 selepas terikat 1-1 menentang Bangkok United dalam aksi Kumpulan G di Stadium Pathum Thani, Thailand, pada Rabu.
Keputusan itu sedikit sebanyak mengubat kekecewaan skuad Gergasi Merah yang sebelum ini tewas dalam empat perlawanan berturut-turut, namun mereka masih berada di tangga tercorot kumpulan dan secara rasmi tersingkir daripada saingan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berhati-hati dalam serangan sehingga berakhir tanpa jaringan.
Babak kedua menyaksikan Rungrath Phumichantuk membuka jaringan untuk Bangkok United pada minit ke-51.
Ketika tuan rumah hampir menguasai perlawanan, Chrigor Moraes muncul wira Selangor dengan gol penyamaan pada masa kecederaan, memastikan satu mata dibawa pulang dari Thailand.
Selangor akan menamatkan peringkat kumpulan apabila menentang wakil Singapura, Lion City Sailors, pada 10 Disember depan.