fb fb fb fb fb

Norliyana dipantau rapi, sasar emas Sukan SEA 2025

Atlet lompat tinggi wanita negara, Liyana Kamaruddin / Foto Facebook Olahraga Malaysia

SEPANG, 27 Jun- Atlet lompat tinggi wanita negara Norliyana Kamaruddin akan menjalani pemantauan rapi selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut serta buku lali menjelang temasya Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Jurulatih atlet berkenaan Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata ia bertujuan memastikan hasrat atlet berusia 34 tahun itu memburu pingat emas di temasya dwitahunan berkenaan kekal membara.

"Tahun lepas kita fokuskan jalani pemulihan kecederaan dialaminya. Terbuka Thailand yang disertai merupakan kejohanan ketiga disertainya selepas Terbuka Filipina dan Terbuka Perak dengan mencatatkan rekod lompatan bawah 1.80 meter (m).

“… Faktor usia maka kita kena sasarkan beberapa kejohanan dan tidak boleh sertai kesemua sekali. Mungkin hanya empat (kejohanan) sahaja sebelum ke Sukan SEA. Dan saya harap dia dapat kekalkan prestasi," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, semalam, sejurus kembali daripada kejohanan Terbuka Thailand.

Terdahulu, Norliyana merangkul pingat emas selepas melakukan lompatan 1.75m pada kejohanan itu sekali gus mengatasi catatan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023 Kemboja, iaitu 1.73m dilakukan atlet Singapura, Michelle Sng Suat Li

Selain mengelakkan kecederaan, Malik turut mahu atlet itu terus membina momentum bagi menyaingi rekod lompatan melebihi 1.80m yang dicapai atlet tuan rumah yang juga pemenang emas pada temasya edisi lepas.

Untuk rekod, Norliyana memiliki catatan peribadi terbaik 1.82m.-BERNAMA

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD