fb fb fb fb fb

Skuad baharu City tampil aksi positif -Bernado Silva

Foto REUTERS

NEW YORK, 27 Jun-Ketua pasukan Manchester City, Bernado Silva menyifatkan kemenangan besar 5-2 ke atas Juventus dalam aksi terakhir peringkat kumpulan G Piala Dunia Kelab sebagai petanda positif buat masa depan pasukan.

Selepas gagal meraih sebarang trofi musim lepas, City tampil garang di kejohanan edisi sulung 32 pasukan itu, selepas memenangi kesemua perlawanan kumpulan dan layak ke pusingan 16 terbaik

Kejayaan itu turut meletakkan pasukan berkenaan sebagai antara calon untuk menjulang trofi Piala Dunia Kelab yang bakal berakhir pada 14 Julai depan.

"Kami sentiasa berpotensi menang dalam mana-mana kejohanan yang disertai.

"Ia hanya satu perlawanan, tetapi kami gembira dengan persembahan sebegitu. Ia menunjukkan kami sedang bangkit, kembali ke tahap yang biasa dilihat di kelab ini," kata Silva.

Silva turut mendedahkan pasukan tersebut mahu menggunakan momentum positif kejohanan Piala Dunia Kelab yang disertai untuk kembali bangkit.

"Kami mahu berubah, kami mahu jadi lebih baik. Hari ini kami buktikan bahawa kami mampu lakukannya semula", katanya.

Beberapa pemain baharu yang dibawa masuk dilihat memberikan impak positif kepada juara 10 kali Liga Perdana Inggeris pada kejohanan berkenaan.

Pemain-pemain seperti Tijjani Reijnders dan Rayan Cherki di bahagian tengah serta Rayan Aït-Nouri di posisi bek kiri,dilihat pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan Pep Guardiola.

Sementara itu, Silva, yang kini memasuki musim kesembilan bersama kelab, menganggap pemilihannya sebagai kapten merupakan penghormatan tertinggi dalam kariernya.

"Saya akan cuba salurkan segala pengalaman kepada pemain-pemain muda," katanya.

Namun beliau menegaskan kepimpinan di City bersifat kolektif.

"Setiap daripada kami perlu menjadi pemimpin. Saya mengharapkan sokongan Ruben (Dias), Rodri, Erling (Haaland) dan lain-lain."

City kini dibarisi tenaga baharu termasuk Omar Marmoush dan Savinho yang telah menyesuaikan diri, menggantikan nama-nama besar seperti Kevin De Bruyne dan Kyle Walker yang telah meninggalkan kelab.

"Kami pernah kehilangan ikon seperti Vincent Kompany, David Silva, Fernandinho, Aguero, Yaya Toure.

"Tetapi kelab sentiasa ada generasi baharu. Yang penting, pemain senior beri laluan dan bimbingan agar mereka ambil alih peranan dengan baik," katanya.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD