MIAMI, 27 Jun – Real Madrid menewaskan RB Salzburg 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan H Piala Kelab Dunia, hasil aksi cemerlang Vinicius Jr.
Pada perlawanan berkenaan, Vinicius menjaringkan gol pertama dengan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-40.
Selang beberapa minit kemudian, dia mencipta peluang untuk Federico Valverde menjaringkan gol kedua melalui hantaran tumit yang kreatif.
Gol ketiga hadir pada minit ke-84 menerusi Gonzalo Garcia yang menewaskan penjaga gol Salzburg menerusi satu serangan balas.
Kemenangan itu membolehkan Real muncul juara kumpulan dengan tujuh mata dan mara ke pusingan 16.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, Al-Hilal turut layak selepas menang 2-0 ke atas Pachuca.
Keputusan berkenaan menyebabkan Salzburg dan Pachuca tersingkir.
Real Madrid akan menentang Juventus di Miami pada Selasa, manakala Al-Hilal bertemu Manchester City di Orlando pada Isnin.-REUTERS