HANGZHOU, 2 Oktober- Wendy Ng Yan Yee menyifatkan terjunan pingat perak bersama Dhabitah Sabri di Pusat Akuatik Olimpik Hangzhou, menjadi penamat terbaik buat dirinya.
Yan Yee memutuskan bahawa temasya Sukan Asia Hangzhou edisi ke-19 ini adalah temasya benua terakhir dalam kariernya.
Jelas atlet berusia 30 tahun itu, dia gembira Dhabitah dapat bersamanya pada penampilan akhir yang cukup bermakna sekali gus tersenarai sebagai penyumbang pingat kepada negara.
"Sebagai atlet, kita tidak boleh cepat putus asa. Saya berterima kasih kepada Dhabitah sebab selalu beri saya sokongan dan kita pun selalu habiskan waktu bersama, dalam latihan atau pun rehat. Kita saling memberi motivasi.
Sukan Asia Guangzhou 2010 adalah penyertaan pertama saya dan Sukan Asia Hangzhou 2022 adalah yang terakhir untuk saya," kata Yan Yee kepada pemberita.
Gandingan itu meraih pingat perak acara tiga meter papan anjal seirama selepas mengumpul 270.27 mata, di belakang penerjun pingat emas dari China, Chen Yiwen-Chang Yani manakala Park Hareum-Kim Suji dari Korea Selatan memenangi gangsa.
Yan Yee sebelum ini telah mengambil bahagian dalam empat temasya Asia dan memenangi pingat perak di setiap temasya.
Bermula tahun 2010 di Guangzhou ketika bergandingan bersama Datuk Leong Mun Yee, 2014 di Incheon bersama Cheong Jun Hoong, dan dua temasya terakhir di Jakarta-Palembang dan Hangzhou bersama Dhabitah.