fb fb fb fb fb

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 381

Liga Super: Kurang bertuah, NSFC tewas ditangan Perak FC 0-1

(Foto FB MFL)

SEREMBAN, 2 Oktober- Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada Perak FC dalam aksi Liga Super 2023, malam tadi.

Jaringan tunggal pemain import kelahiran Serbia, Luka Milunovic di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi nyata mengejutkan penonton tuan rumah.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui agak tidak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang sedikit longgar dalam mengekalkan rentak permainan.

"Jika kita boleh simpulkan, kita beraksi agak kurang bermaya. Dalam masa sama, kita cuba mendominasi dengan hantaran pendek. Saya amat risau apabila pemain menyediakan peluang kepada pihak lawan dan perkara itu harus kita perkemaskan. Alhamdulillah untuk kemenangan malam ini," kata Yusri kepada pemberita selepas perlawanan.

Babak pertama menyaksikan perlawanan seimbang dipamerkan tuan rumah dan pelawat, dengan saling berbalas asakan dan serangan.

Percubaan tepat NSFC hadir pada minit ke-25 melalui peluang sepakan percuma yang disempurnakan Hein Htet Aung, bagaimanapun penjaga gol Perak FC, Muhammad Farhan Abdul Majid cemerlang menepis sepakan itu.

Masuk babak kedua, Perak FC berjaya menterjemah peluang menerusi hantaran kapten pasukan, Luciano Guaycochea kepada Luka Milunovic pada minit ke-51.

Gol Milunovic itu sekali gus kekal sehingga tamat permainan sebagai jaringan tunggal perlawanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih NSFC, K.Devan mengakui pasukan itu tidak seharusnya gagal pada perlawanan tersebut sebaliknya adalah peluang untuk menterjemah taktikal ketika latihan.

Bagaimanapun, beliau memuji kesemua pemain yang telah memberi komitmen dan mempamer prestasi yang terbaik pada perlawanan itu.

"Nasib yang kurang baik atau tidak bertuah. Sepatutnya, kita tidak boleh kalah. Bagaimanapun, itulah bola sepak. Saya rasa kita banyak peluang cuma penyudah itu tidak muncul sehingga hujung perlawanan. Kita akan terus memperbaiki prestasi dan fokus pemain," kata K. Devan kepada pemberita.

Meskipun NSFC tewas di halaman sendiri, pasukan itu kini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan 21 mata manakala Perak FC di tempat ke-11 dengan 19 mata.