SAO PAULO, 25 Jun - Bintang bola sepak Brazil, Neymar, sah menyambung kontraknya bersama kelab lamanya, Santos, sehingga hujung tahun 2025.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab tersebut, Neymar memberitahu akan berusaha bagi mengembalikan prestasinya ke tahap terbaik menjelang kejohanan Piala Dunia tahun hadapan.
“Saya buat keputusan ini kerana ikut kata hati. Santos bukan sekadar pasukan saya tetapi ia rumah saya, asal saya, sejarah saya dan hidup saya,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Neymar memulakan kerjayanya di Santos sebelum berhijrah ke Barcelona dan seterusnya Paris Saint-Germain.
Selepas mengalami kecederaan berpanjangan di Arab Saudi bersama Al-Hilal, beliau kembali ke Santos Januari lalu dengan kontrak asal yang sepatutnya tamat 30 Jun ini.
Pada Mac lalu, Neymar dipanggil menyertai skuad Brazil bagi kelayakan Piala Dunia, namun menarik diri akibat kecederaan paha.
Bulan lalu, ketua jurulatih baharu, Carlo Ancelotti, tidak menyenaraikannya dalam skuad pertama beliau atas alasan Neymar masih dibelenggu kecederaan. - AFP